Hasrat mahu beraya bersama lebih 20 cucu lebur selepas rumah terbakar

Hasrat ibu tunggal mahu beraya bersama lebih 20 cucu lebur selepas rumah terbakar

RAHANI Abdul Rashid menunjukkan rumahnya yang terbakar dipercayai akibat dipanah petir di Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hasrat ibu tunggal berkumpul bersama sembilan anak dan lebih 20 cucu pada 1 Syawal tidak kesampaian apabila rumahnya terbakar akibat dipanah petir di Felda Chiku 2, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu disedari penduduk kampung manakala mangsa, Rahani Abdul Rashid, 58, bersama seorang anak bongsu dan cucunya ketika itu berjalan ke Masjid Felda Chiku 3 untuk solat sunat tarawih.

Menurut Rahani, ketika kejadian keadaan hujan lebat disusuli dentuman petir sebelum salah seorang jiran melihat api sudah membakar dinding papan bahagian hadapan rumahnya.

“Kami bergegas berpatah balik selepas jiran menelefon anak bongsu memberitahu rumah kami sedang terbakar. Apabila sampai, saya dapati api sedang marak di bahagian hadapan rumah. 

“Kami tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api merebak dengan cepat. Sebuah motosikal Honda Dash 125 turut hangus,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini hari ini.

Rahani berkata, impiannya untuk beraya di rumah bersama anak dan cucu pada tahun ini, selepas dua tahun berturut-turut tidak dapat berkumpul kerana Covid-19, musnah apabila hilang tempat berteduh.

“Saya bersama anak merancang untuk membeli kelengkapan raya kerana Aidilfitri bakal tiba dua minggu lagi. Kerugian lebih kurang RM100,000 kerana semua perabot dan peralatan elektrik hangus terbakar. Namun, saya redha dan anggap ini ujian Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian kebakaran rumah separa batu itu tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba Gua Musang telah tiba di tempat kejadian pada pukul 8.30 malam berjaya mengawal api kebakaran daripada merebak ke rumah lain, namun keseluruhan rumah tersebut gagal diselamatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya