JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sedia menggalas tanggungjawab sebagai calon di peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO.
“Itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan, saya bersedia untuk berkhidmat,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO negeri di ibu pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.
Beliau membuat kenyataan itu selepas ditanya pemberita sama ada berhasrat untuk bertanding dalam PRU-15 atau tidak.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Johor itu turut memberitahu, Badan Perhubungan UMNO Johor bakal melakukan kajian dan tinjauan di peringkat akar umbi sama ada terdapat keperluan untuk menyegerakan PRU-15 atau tidak.
“Dalam mesyuarat ini, kita juga telah meminta semua bahagian untuk membuat tinjauan lapangan di peringkat akar umbi sama ada PRU perlu disegerakan atau sebaliknya.
“Kita maklum dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, telah ditetapkan PRU-15 perlu diadakan segera, tetapi UMNO Johor akan dapatkan maklum balas terlebih dahulu,” jelasnya.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu turut mengulas berhubung cadangan pembangkang untuk sekali lagi bekerjasama antara mereka bagi berdepan BN dalam PRU-15 melalui strategi Khemah Besar.
“Pendekatan khemah besar tidak bererti ia merupakan satu langkah yang akan menggugat akan dapat memastikan BN Johor khususnya kalah dalam PRU akan datang,” jelasnya mengulas cadangan parti politik pembangkang untuk bekerjasama dalam PRU-15 akan datang.
Cadangan ‘Khemah Besar’ antara pembangkang itu telah diutarakan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjumpa dengannya bagi memohon sokongan untuk membolehkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. – UTUSAN