PETALING JAYA: Pelawak senior, Yassin Yahya, tidak mengambil pusing apabila turut terpalit dengan kontroversi atau desas-desus negatif yang membabitkkan nama baiknya.
Pelakon terkenal Senario Lagi itu berkata, dia menganggap perkara tersebut sekadar sekali lalu, sekaligus dapat menaikkan namanya.
“Saya tidak boleh bercakap apa, saya hanya boleh terdiam seribu bahasa dan senyum. Maknanya, saya pernah membuat nama dan kali ini tidak terasa terpalitnya.
“Ada golongan yang mengikuti perkembangan dan ada yang tidak mengendahkan pun. Jadi, berita ini boleh diibarat macam sekali lalu.
“Dengan zaman kini yang banyak isu tular, jadi anggap ia sekali lalu sahaja. Dahulu pun saya sudah lalui perkara itu, jadi ia saya menggangap ia sebagai menaikkan nama saya lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Yassin juga menyatakan masyarakat kini lebih yakin dengan perkara yang ada dalam digital berbanding sedia ada.
“Ini zaman fitnah kan, mereka yang mengata kita itu bukannya tepat. Fitnah ini sekejap pula sampai. Keluarga kita sebenarnya bukan apa yang kita lihat, namun telefon bimbit ini juga keluarga kedua.
“Ia kerana, kadang kala kita lebih yakin dengan digital berbanding yang sedia ada. Jadi, kita perlu berbalik kepada asas,” ujarnya panjang.