PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 14,692 kes berbanding kelmarin, 17,476 kes sekali gus mengatasi 20,383 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam turut merekodkan penurunan kepada 261 kes berbanding kelmarin, 263 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 153 kes berbanding kelmarin, 162 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, dua kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, enam kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,940 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 190 kluster berbanding kelmarin, 194 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,750 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 79 kes daripada 14,692 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 14,613 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 79 kes kategori tiga, empat dan lima,19 kes (24.06 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 42 kes (53.16 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 18 kes (22.78 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 46 kes (58.23 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas serta 42 kes (53.16 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 56 kes berbanding semalam, 30 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,069 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 11 daripada 56 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,397 kes. – UTUSAN