PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 6,623 kes berbanding kelmarin, 9,705 kes bagaimanapun diatasi 11,233 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam terus merekodkan penurunan kepada 126 kes berbanding 134 kes kelmarin.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 76 kes berbanding kelmarin, 81 kes.
“Bagi kluster Covid-19, enam kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, 10 kluster sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 6,990 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 120 kluster berbanding kelmarin, 116 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,870 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 42 kes daripada 6,623 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 6,581 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 42 kes kategori tiga, empat dan lima, 11 kes (26.19 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 14 kes (33.33 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 17 kes (40.48 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 25 kes (59.52 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 23 kes (54.76 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan menurun dengan jumlah sebanyak 12 kes berbanding semalam, 16 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,421 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), lapan kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,492 kes. – UTUSAN