Hanya 15 saat panjat pokok kelapa - Utusan Malaysia

Hanya 15 saat panjat pokok kelapa

MUHAMMAD Amin Abdul Rahman memiliki kelebihan memanjat pokok kelapa dalam tempoh hanya 15 saat bagi menurunkan buah kelapa muda untuk dijual di kedai hidangan celup tepung di sekitar Pantai Penarik di Setiu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kepantasan seorang pemuda berusia 19 tahun dari Kampung Mangkuk di sini yang mampu memanjat pokok kelapa setinggi 10 meter dalam tempoh hanya 15 saat membolehkannya meraih pendapatan lumayan sebagai pemetik kelapa muda.

Muhammad Amin Abdul Rahman berkata, setiap hari dia mampu memetik sehingga 100 biji kelapa muda bagi dijual di enam kedai hidangan celup tepung di Pantai Penarik di sini selain di kawasan Pak Kancil.

Katanya, kerjaya sebagai pemetik kelapa muda mula diceburi selepas berhenti sekolah pada usia 14 tahun bagi membantu bapanya, Abdul Rahman Dahat, 50.

“Saya mampu memanjat enam pokok kelapa di sekitar kampung dalam sehari dan pernah menurunkan sehingga 200 buah terutama pada musim cuti sekolah kerana permintaan yang cukup tinggi.

“Pendapatan harian pula boleh mencecah RM150, cukup lumayan dan menyeronokkan berbanding pekerjaan lain yang pernah dilakukan sebelum ini termasuk menjadi pelayan kedai makan serta nelayan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Muhammad Amin, rutin memanjat dan memetik buah kelapa muda bermula dari pukul 2 hingga 6 petang dan kemudian terus dijual di kedai-kedai pada harga RM1.50 sebiji.

Katanya, sebagai satu-satunya yang masih meneruskan kerjaya tradisi itu di kampung, kemahirannya turut menarik perhatian ramai terutama pelancong.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, sehingga kini dia tidak pernah jatuh atau berdepan kemalangan ketika memanjat mahu pun memetik buah kelapa muda.

“Ramai terkejut tengok kemahiran memanjat saya yang pantas dan ia berkemungkinan kerana kudrat orang muda di samping latihan sejak kecil hingga ada pelancong yang merakamkan gambar dan video ketika saya bekerja,” katanya.

Menurut Muhammad Amin, peralatan yang diperlukan bagi aktiviti berkenaan ialah tali bagi menurunkan kelapa di samping gergaji dan penyembur serangga jika pokok mempunyai banyak kerengga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya