PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 6,342 kes berbanding kelmarin, 5,899 kes bagaimanapun terus diatasi 9,111 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan penurunan kepada 91 kes berbanding jumlah kelmarin, 92 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 61 kes bersamaan jumlah kelmarin.
“Bagi kluster Covid-19, dua kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, satu kluster sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 7,002 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 100 kluster berbanding kelmarin, 101 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,902 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 42 kes daripada 6,342 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 6,300 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 42 kes kategori tiga, empat dan lima, 13 kes (30.95 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 14 kes (33.33 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 15 kes (35.71 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 15 kes (35.71 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 23 kes (54.76 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 12 kes berbanding semalam, lima kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,482 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), dua kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,511 kes. – UTUSAN