PEKAN: Daripada lebih 6,000 anggota polis berkhidmat di seluruh negeri ini, hanya 10 peratus dibenarkan bercuti sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, selebihnya perlu bertugas sepanjang tempoh perayaan ini dalam mod bersiap sedia bagi mengawal keselamatan dan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita di Pahang hanya membenarkan 10 peratus cuti iaitu dianggarkan 600 anggota dan pegawai yang bercuti dalam satu-satu masa. Penggiliran bercuti sama ada sebelum, semasa dan selepas Aidilfitri dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan menjalankan tugasan membuat rondaan keselamatan, kawalan dan pencegahan jenayah di seluruh negeri.
“Penggiliran cuti ini tidak akan menjadi masalah yang besar, kerana semuanya berhak untuk bercuti sama ada sebelum, semasa atau selepas hari raya. Kalau kita bagi serentak siapa hendak jaga keselamatan,” katanya pada program Pencegahan Ketua Polis Pahang Bersama Masyarakat Daerah Pekan di Pekarangan Masjid An-Nur di sini semalam.
Ramli memaklumkan polis Pahang akan menumpukan kepada kawalan keselamatan harta benda di taman-taman perumahan dan keselamatan nyawa serta kelancaran pergerakan kenderaan di jalan raya ketika musim cuti perayaan itu.
“Suasana cuti mungkin akan memberi peluang penjenayah melaksanakan jenayah dengan berkesan, justeru polis akan digerakkan untuk tujuan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada polis jika meninggalkan rumah kediaman semasa cuti ini dengan mengisi borang secara dalam talian atau hadir sendiri ke balai-balai berdekatan.
“Setelah lebih dua tahun tiada pergerakan besar-besaran pulang ke kampung halaman di musim perayaan ini, kita ingin ingatkan kembali kepada masyarakat agar mengisi borang yang disediakan sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku kejadian tidak diingini ketika ketiadaan mereka di rumah,” katanya.
Jelasnya, dengan cara ini pemantauan dapat dilakukan dari semasa ke semasa, sekali gus dapat menjamin keselamatan harta benda orang ramai. – UTUSAN