Hampir 12,000 murid di Sabah tidak mahir membaca, mengira

Hampir 12,000 murid di Sabah tidak mahir membaca, mengira

MOHAMMAD ARIF TUN SAKARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hampir 12,000 murid di Sabah tidak mampu menguasai kemahiran membaca dan mengira.

Itu data yang direkodkan Kementerian Pendidikan pada dua tahun lalu dan jumlah itu agak membimbangkan serta memerlukan tindakan segera bagi memastikan murid sekolah rendah di negeri ini tidak terus ketinggalan dalam pelajaran.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan,  Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak bermulanya pandemik Covid-19 dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan bilangan murid yang tidak mahir dalam membaca dan mengira.

Justeru, focal person menerusi penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menangani masalah tidak menguasai kemahiran membaca dan mengira di Sabah.

Beliau berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini dan salah satunya ialah Sabah merupakan negeri yang besar dengan 24 PPD.

Malah, hampir 60 peratus daripada 1,071 sekolah rendah di negeri ini terletak di kawasan luar bandar.

Walaupun masalah ini sudah berlarutan agak lama namun, masih belum ada usaha proaktif yang diambil bagi menangani masalah murid tidak mahir membaca dan mengira.

“Dasar KPM silih berganti dan sekarang saya melihat kementerian agak komited untuk membantu mengatasi masalah membaca dan mengira dalam kalangan murid sekolah rendah.

“Ia selaras dengan usaha melantik focal person supaya dapat melibatkan ibu bapa secara langsung bagi menambah baik sistem pendidikan sedia ada seperti termaktub dalam anjakam kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya ketika ditemui semalam.

Mengulas lanjut katanya, peranan ibu bapa amat penting dalam menangani isu ini kerana ia bukan sekadar berpunca daripada faktor kemiskinan.

Kesibukan ibu bapa bekerja turut menyumbang kepada kelemahan murid menguasai kemahiran membaca dan mengira, terutama murid tahun satu dan dua.

Pada masa ini, focal person memberi fokus untuk menangani isu ini agar usaha mendidik generasi yang berilmu pada masa akan datang dapat dijayakan.

Pakar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) mungkin akan dilibatkan sebagai rakan strategik kerana pandangan daripada pihak luar dan komuniti amat penting untuk menangani masalah tidak menguasai kemahiran membaca dan mengira.

Focal person merupakan sukarelawan yang berperanan membantu Kementerian Pendidikan dalam usaha mentransformasikan pendidikan melalui penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta.-UTUSAN 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN