KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melawat sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini bagi mendapat gambaran yang lebih jelas berkaitan lokasi kes pengabaian seorang remaja Sindrom Down yang didakwa dilakukan oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Hakim Izralizam Sanusi ketika memutuskan demikian berkata, meskipun gambaran kejadian yang didakwa berlaku sudah dikemukakan melalui keterangan saksi dan eksibit, mahkamah berpeluang melihat sendiri lokasi tersebut.
Sehubungan itu, Izralizam mengarahkan lawatan pada Rabu ini yang turut disertai oleh beliau, timbalan pendakwa raya, peguam, jurubahasa, tertuduh dan saksi.
“Adalah wajar untuk saya ke tempat kejadian namun saya akan lihat kesesuaian sama ada demonstrasi perlu dilakukan atau tidak kerana keterangan saksi kelima iaitu penghuni Rumah Bonda sudah diterangkan dengan jelas,” katanya.
Turut hadir dalam prosiding hari ini, Ahli Dewan Negara (Wakil Orang Kelainan Upaya), Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Pada Jumaat lalu, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun membuat permohonan untuk melawat kondominium tersebut selepas wujud pertikaian sama ada ruang dobi yang didakwa tempat berlakunya pengabaian, boleh memuatkan Siti Bainun dan beberapa individu lain.
Peguam itu berkata, lawatan ke lokasi itu sangat penting kerana saksi pembelaan kelima telah memberikan deskripsi yang tidak boleh dizahirkan melalui gambar-gambar yang dikemukakan di mahkamah.
Menurut pihak pembelaan, saksi mendakwa kejadian mendera banyak dilakukan oleh tertuduh di ruang dobi.
Menurut Nur A’minahtul, lawatan ke kondominium berkenaan berupaya merungkai keterangan yang menyatakan beberapa individu berada bersama Siti Bainun di lokasi tersebut.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas atas alasan tiada jaminan lokasi itu masih sama kerana kejadian didakwa berlaku pada 2021 dan kes ini sudah berada di peringkat perbicaraan, bukan siasatan.
Minggu lalu, saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, dalam keterangannya memberitahu dia diarah oleh Siti Bainun supaya menggigit perut Bella.
Saksi itu berkata, dia bertindak sedemikian kerana Bella tidak mengikut arahan Siti Bainun supaya berdiri di ruang dobi kondomonium itu.
Siti Bainun, 30, sebagai orang yang dipertanggungjawab menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu, didakwa telah mengabaikannya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 25 November 2021, Siti Bainun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya remaja sama sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat dan tarikh sama. – UTUSAN