Guru agama hayati manhaj ahlus Sunnah Wal Jamaah 

Guru agama hayati manhaj ahlus Sunnah Wal Jamaah 

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan berangkat merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) peringkat Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menjadi kemestian setiap guru agama di negeri ini memahami, menghayati dan berpegang kepada manhaj ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, daripada aspek fiqh, perlu mengamalkan semua mazhab ahlus Sunnah Wal Jamaah selagi mana ia membawa kepada pemahaman sunnah yang sahih.

Titah baginda, jentera pentadbiran negeri dan persekutuan yang berkhidmat di negeri ini mestilah berusaha dan memahami peranan guru-guru serta murabbi ini. 

“Dalam hal ini, bantuan daripada agensi agama persekutuan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah diperlukan bagi memastikan proses pemahaman tersebut dipermudah bagi mereka yang berkaitan.

“Semua guru agama juga mestilah mendapat tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Jabatan Mufti negeri ini. 

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 33 Enakmen Jenayah Dalam Syarak dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri Perlis,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) peringkat negeri ini di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Program tersebut dianjurkan oleh agensi-agensi agama Islam negeri ini yang diterajui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Jakim.

Seterusnya baginda bertitah, kedudukan guru dan murabbi adalah mulia di sisi agama Islam. 

“Di bahu mereka terpikulnya tanggungjawab mendidik dan membimbing umat untuk kekal berada di jalan yang benar. Sudah tentu, peranan ini  menentukan nasib dan keadaan umat pada masa hadapan,” titah baginda.

Sementara itu, titah baginda, program Multaqa Murabbi tersebut hendaklah dijadikan medium perkenalan, penyatuan dan penyelarasan kepada semua guru agama di negeri ini. 

Dalam masa sama, baginda juga menyokong usaha-usaha seperti itu dalam rangka memaju dan merancakkan lagi kelas-kelas pengajian agama khususnya di masjid dan surau di negeri ini selaras dengan jolokan sebagai negeri ilmu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya