SEREMBAN: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terpaksa meminta bantuan pihak bomba dan penyelamat bagi memotong sebentuk cincin yang tersekat di jari manis tangan kanannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Priscilla Carol Thomas berkata, dalam kejadian malam semalam itu, mangsa yang berusia 30-an dipercayai datang dari Kuala Lumpur melawat rakannya di Mantin dekat sini.
“Mangsa yang tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Mantin pada pukul 8.50 malam memberitahu dia cuba menanggalkan cincin tersebut pada waktu siang kerana tidak mahu lagi memakai cincin tersebut.
“Mangsa dikatakan sudah mencuba pelbagai cara seperti menggunakan benang, memakai minyak masak dan merendam tangan menggunakan ais namun masih gagal untuk menanggalkan cincin tersebut.
“Lelaki itu juga ada ke sebuah pusat perubatan namun diminta untuk datang ke balai bomba Mantin di sini untuk mendapatkan perkhidmatan khas memotong cincin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Priscilla, pihak bomba telah menggunakan peralatan khas bagi memotong cincin berkenaan.
“Anggota mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memotong dan menanggalkan cincin jenis kelulut (keluli standard) yang dipakai mangsa. Ketika kejadian, jari mangsa juga dilihat sudah membengkak,” katanya. – UTUSAN