Guna khidmat 50 tukang emas siapkan 2,000 tempahan - Utusan Malaysia

Guna khidmat 50 tukang emas siapkan 2,000 tempahan

MURTADHATUMIZI Mustapha (berdiri) memerhatikan tukang emas menyiapkan tempahan pelanggan di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kegilaan wanita terhadap set perhiasan emas untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri menyebabkan kedai-kedai emas di negeri ini tidak menang tangan menyiapkan tempahan diterima pelanggan masing-masing.

Antara yang sibuk sehingga ‘bermandi peluh’, 50 tukang emas yang diupah MZ Gold, di sini yang kini bertungkus-lumus menyiapkan lebih 2,000 tempahan rantai, loket, gelang dan cincin selewat-lewatnya sehari sebelum 1 Syawal.

Pengarah Urusan MZ Gold Sdn. Bhd., Murtadhatumizi Mustapha memberitahu Utusan Malaysia, tempahan diterima di kedai-kedai emas rangkaiannya di seluruh negeri ini cukup hebat sejak 1 Ramadan lagi.

Tempahan katanya, terus mencanak naik selepas pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 50 tukang emasnya kini perlu bekerja lebih masa, selain terpaksa menutup tempahan untuk raya lebih awal.

“Trend pembelian barangan kemas pada Aidilfitri kali ini berbeza apabila ramai mahukan set perhiasan eksklusif yang ditempah khas mengikut cita rasa sendiri, berbanding rekaan sudah siap dipamerkan di kedai.

“Tempahan eksklusif ini antaranya melibatkan ukiran nama pemakai. Bagi memastikan tempahan siap sehari sebelum 1 Syawal, kami terpaksa tolak tempahan baharu untuk raya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Murtadhatumizi, setiap kali musim perayaan, permintaan terhadap barang kemas tetap menunjukkan trend peningkatan walaupun harga emas agak tinggi ketika ini.

“Selain tempahan khas, pembelian emas terpakai turut menjadi trend menjelang Aidilfitri kali ini kerana kualitinya sama seperti yang baharu, selain eksklusif dan tidak perlu kos upah tukang emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya