GPS perlu waspada pengundi muda

GPS perlu waspada pengundi muda

MOHD FADZIL ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu waspada dengan sentimen pengundi muda khususnya pengundi 18 tahun menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang kerana golongan tersebut mampu memberi impak kepada pola pengundian.

Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Mohd. Fadzil Abdul Rahman berkata berdasarkan keadaan semasa, sememangnya GPS dilihat mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan peluang yang amat baik untuk memenangi kesemua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Bagaimanapun, kita perlu juga melihat sentimen pengundi, yang termasuk pengundi 18 yang mungkin akan memberi sedikit kesan terhadap keputusan PRU15 akan datang memandangkan kumpulan pengundi 18 terdiri daripada kalangan yang masih baru dan berpotensi untuk berubah-ubah pengaruh ataupun sokongan mereka terhadap mana-mana parti politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sikap pengundi sebegini menurut Mohd Fadzil sudah pasti akan memberikan sedikit cabaran termasuk kepada GPS walaupun GPS sudah pun mengorak langkah dengan mewujudkan satu kesedaran ataupun inisiatif untuk memberi pendedahan awal kepada pengundi berusia 18 hingga 28 tahun.

Namun, katanya pengundi dalam lingkungan usia ini agak mudah terpengaruh apabila mendapat maklumat kerana tidak berfikir secara lebih mendalam sehingga boleh mempengaruhi keputusan yang akan mereka buat semasa mengundi nanti.

Tambah Fadzil, pada masa yang sama trend pengundian sebelum ini juga harus diambil kira apabila pengundi cenderung memilih parti tempatan untuk membentuk kerajaan negeri ini, tetapi cenderung memilih parti pembangkang untuk mewakili mereka dan negeri ini di Parlimen.

“Terdapat di kalangan pengundi berfikiran dengan memberi kemenangan kepada parti pembangkang untuk menjadi wakil di Parlimen akan mengimbangi kepentingan untuk sesebuah wilayah atau negeri dan pihak-pihak tertentu, selain wujud check and balance dalam pentadbiran negara.

“Sentimen sebegini agak sukar untuk kita tafsirkan secara langsung kerana buat pertama kalinya juga GPS akan bertanding menggunakan nama dan lambing GPS pada pilihan raya umum kerana sebelum ini menggunakan nama Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Oleh sebab itu, Fadzil berkata trend pengundian pada PRU15 akan datang agak sukar untuk dijangkakan.

“Walau apa pun jika mengikut sentimen semasa, GPS mungkin boleh menang tetapi untuk mengatakan bahawa mungkin dapat menang ke semua kerusi Parlimen di Sarawak itu agak subjektif.”

Beliau menambah bahawa GPS perlu boleh menyakinkan pengundi dengan menjaya semua perancangan pembangunan dan inisiatifnya, yang tentunya dapat menaruik sokongan rakyat.

“Kita dapat melihat ada dua perspektif di sini, perspektif pertama jika rakyat ingin melihat kelangsungan dan kemajuan wilayah yang didukung oleh negeri, juga disambut baik oleh peringkat persekutuan melalui Parlimen.

“Pengundi di negeri ini akan memberi sokongan kepada GPS kerana mereka sudah nampak GPS di peringkat negeri sudah ada kesan yang begitu baik daripada segi perancangan serta pelaksanaan pembangunan dan pentadbiran,” katanya.

Mohd Fadzil bagaimanapun berpendapat alangkah baiknya jika pengundi di Sarawak memberi sokongan mereka kepada GPS di peringkat negeri dan juga parlimen (persekutuan).

Katanya, kesinambungan tugas mahupun perancangan itu dapat dirancang di segenap peringkat,iaitu di peringkat, negeri, wilayah dan persekutuan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya