Golongan M40 boleh masuk Tabika Kemas jika kekosongan 

Golongan M40 boleh masuk Tabika Kemas jika kekosongan 

MOHAMAD Yasid Bidin (tengah) memerhatikan produk jualan pengusaha Kemas selepas merasmikan Program ‘Riooh Raya Is Back’ di Pusat Beli Belah GM Klang, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiada premis bersesuaian di bandar menyebabkan kanak-kanak daripada keluarga golongan M40 sukar mendaftar masuk di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Selain itu, kelas penuh turut menyebabkan mereka tidak berpeluang mendapatkan pendidikan awal apabila keutamaan diberikan kepada kanak-kanak dari keluarga golongan B40.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pada dasarnya Tabika Kemas banyak ditubuhkan di luar bandar untuk golongan B40 dan di bandar hanya di kawasan perumahan kos rendah dan terhad untuk golongan tersebut.

“Kemas pada dasarnya tidak mempunyai masalah untuk menerima golongan M40 menyertai Tabika Kemas tetapi buat masa ini tiada kekosongan.

“Masalah kita bukannya terima atau tidak golongan M40, sebab jika kita buka Tabika Kemas di bandar kita utamakan golongan B40 dahulu. Bila ada kekosongan baru kita buka kepada anak golongan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program ‘Riooh Raya’ di GM Klang hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok, semalam.

Awal Januari lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan untuk mempertimbangkan rayuan ibu bapa terutama di kawasan bandar untuk memasukkan anak mereka ke Tabika Kemas termasuk menambah bilangan kelas.

Mahdzir berkata, Tabika Kemas yang diwujudkan bukan sahaja melibatkan kawasan luar bandar, malah di kawasan bandar.

Dalam pada itu, Mohamad Yasid memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tidak kira golongan B40 mahupun M40 lebih ramai dapat menerima pendidikan Tabika Kemas di bandar pada masa depan.

Mengulas mengenai program Riooh Raya seramai 37 usahawan bimbingan Kemas berpeluang memasarkan produk mereka kepada orang ramai di pusat pemborong yang terletak di Bandar Botani yang bermula dari 8 hingga 28 April ini.

Jelasnya lagi, kerjasama strategik antara Kemas dan GM Klang tersebut mencipta peluang dan platform kepada usahawan Kemas mempromosi produk mereka melalui jualan secara terus kepada orang ramai. 

“Pelbagai produk usahawan tempatan yang diketengahkan seperti kuih raya, pakaian, produk kecantikan dan kesihatan, produk kraftangan, aksesori dan pelbagai lagi dalam usaha untuk menggalakkan orang ramai untuk membuat persiapan raya lebih awal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya