Golf: Mahu bawa KGPA ke arah lebih cemerlang

Golf: Mahu bawa KGPA ke arah lebih cemerlang

“SAYA akan jalankan tanggungjawab saya untuk memajukan KGPA sebaik mungkin.” - Shaharuddin Khalid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebaik sahaja dilantik sebagai Pengurus Besar Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) pada 1 Ogos 2021, Datuk Seri Shaharuddin Khalid tidak menganggap jawatan itu sebagai satu bebanan, sebaliknya menjadikan ia satu platform dan tugas yang harus digalas dengan penuh dedikasi serta tanggungjawab.

Menyedari tugas itu bukanlah mudah, namun pengalaman selama 36 tahun sewaktu bertugas dalam jabatan kerajaan bermula 1984 di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 18 September 2017 hingga tarikh persaraannya 20 September 2020, Shaharuddin pastinya akan menterjemahkan semua pengalaman itu untuk membawa KGPA ke arah yang lebih baik.

WALAUPUN KGPA di bawah naungan kerajaan, namun ia perlu digerakkan sendiri oleh pengurus besarnya bersama komiti kelab dalam menjana pendapatan.

Biarpun KGPA berlainan bidang berbanding tugasnya sebelum ini, namun Shaharuddin juga berpengalaman luas dalam bidang golf dan ini terbukti apabila dilantik sebagai Setiausaha Kehormat KGPA untuk tempoh agak lama sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar KGPA oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali. 

“Ketika dilantik untuk meneraju KGPA awal Ogos lalu, saya sudah meletakkan azam untuk menjadikan KGPA sebagai sebuah kelab golf yang cemerlang di Lembah Klang mahupun lebih baik lagi di serata Malaysia. 

“Tetapi ia bukanlah tugas mudah kerana KGPA ini tidak seperti kelab-kelab lain di bawah naungan swasta. KGPA diwujudkan oleh kerajaan dan terlahirnya atas perlembagaannya tersendiri iaitu dasar yang berlandaskan kehendak-kehendak komuniti tetapi pelaksanaan adalah pihak pengurusan,” katanya ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia di pejabatnya di KGPA, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KGPA kini semakin menjadi pilihan ramai pemain golf yang mahu merasai cabaran yang berbeza di ketiga-tiga nine iaitu Hill, Lake dan Forest.

Menurut Shaharuddin, cabaran awal dan utama dalam menjadikan KGPA ke arah lebih baik ialah beliau perlu memastikan ketelusan maklumat sampai kepada barisan 18 komiti kelab sebelum pelaksanaan atau apa jua perancangan dilaksanakan.

Kadang-kadang, tambah beliau, setiap ahli mempunyai buah fikiran sendiri, jadi maklumat perlu dipastikan betul-betul sampai dan memenuhi kehendak semua pihak supaya tiada pertelingkahan di antara barisan komiti dan juga ahli-ahli KGPA.

Menyentuh mengenai dana, Shaharuddin memberitahu, walaupun asalnya KGPA berada di bawah naungan kerajaan, tetapi KGPA sudah tidak ada apa-apa pinjaman dengan kerajaan dan kelab itu bergerak, mengurus serta mencari inisiatif sendiri bagi memastikan kelab dapat bertahan.

LAPANGAN yang menghijau dengan hamparan rumput cowgrass pada lapangan dan serangoon pada green memberi kepuasan kepada setiap pemain yang beraksi di KGPA.

Justeru, katanya, beberapa projek yang dirancang di bawah pengurusan sebelum ini akan diteruskan seperti pembinaan hotel dengan kapasiti kira-kira 300 bilik yang dijangka siap dan mula beroperasi pada Julai ini dan kemungkinan akan mengadakan kerjasama untuk mewujudkan pakej-pakej terbaik buat penginap untuk bermain golf.

“Saya percaya dengan siapnya hotel ini nanti ia akan memberi tambahan kepada kewangan kelab ini, sekali gus memudahkan kita untuk menjayakan rancangan memajukan KGPA ke arah yang lebih baik,” katanya sambil memberitahu KGPA kini mempunyai 3,200 keahlian dengan 1,500 daripadanya adalah ahli yang aktif.

Malah, menurut Shaharuddin, selepas tamat PKP dan aktiviti golf dibuka kepada pemain tahun lalu, KGPA mampu menjana pendapatan 8,000 round of golf sebulan dan beliau yakin jumlah itu akan bertambah selepas hari raya Aidilfitri nanti.

HOTEL dengan kapasiti kira-kira 300 bilik yang dijangka siap dan akan beroperasi Julai ini bakal menjadikan KGPA lebih berprestij.

“Bersandarkan kemudahan yang ada di sini termasuk 27 lubang dengan karektor yang berbeza, saya yakin lebih ramai pemain-pemain akan datang bermain golf di sini, tambahan pula KGPA terletak dalam persekitaran bandar Kuala Lumpur.

“Kita juga mempunyai kejohanan golf yang akan berlangsung di sini seperti Pusingan Kelayakan PGM pada 13-15 September dan Amatur Terbuka KL yang dijangka berlangsung pada Mei ini. Ini secara tidak langsung akan mempromosikan dan menarik lebih ramai pemain golf untuk beraksi di KGPA,” ujarnya.

Sekarang ini pun, tambah beliau, selepas pandemik dan tamatnya PKP, pihaknya menerima tempahan penuh setiap hari, malah ahli sendiri mengeluh tidak dapat bermain kerana KGPA sentiasa penuh.

Cabaran 

Disebabkan Kuala Lumpur mempunyai beberapa kelab golf, kata Shaharuddin, ia menimbulkan persaingan sihat di antara KGPA dan kelab-kelab lain, malah KGPA sentiasa bersedia untuk berdaya saing serta mendominasi sebagai sebuah kelab golf tersohor.

“Kita lihat KGPA sudah mula menjadi pilihan ramai pemain golf untuk beraksi dan mencabar kemampuan diri. Dengan faktor lapangan yang berbukit disusuli cabaran kolam dan bunker, ia pastinya memberi cabaran kepada setiap pemain.

“Tambahan pula kedudukan KGPA ini tidak jauh dari pusat bandar, malah kita juga memperkenalkan beberapa pakej menarik, selain mengekalkan padang golf berada dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN