Ganja perubatan: Jawatankuasa Fatwa perlu muzakarah, nilai sudut perubatan - Utusan Malaysia

Ganja perubatan: Jawatankuasa Fatwa perlu muzakarah, nilai sudut perubatan

PENGGUNAAN ganja untuk perubatan memerlukan penelitan pelbagai pihak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia perlu bermuzakarah bagi membincangkan isu ganja perubatan yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat membabitkan pertimbangan antara manfaat atau mudarat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, memandangkan Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, kenyataan dan pandangan majlis terbabit penting sekali gus dapat mendidik masyarakat.

Jelasnya, beliau sedia maklum bahawa setakat ini hanya Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor yang memberikan pendapat penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus jika tidak mengancam keselamatan.

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN

“Kalau kita boleh menjustifikasikan kegunaannya untuk perubatan dan dari segi hukumnya dibenarkan, saya fikir kenapa tidak (digunakan),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang pertemuan rasmi Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan Parlimen bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 April lalu.

Menurut kenyataan kaukus ahli parlimen rentas parti itu, Ismail Sabri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri memberikan maklum balas positif terhadap cadangan mereka dan akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Kabinet.

Mohd. Sharkar berkata, pelbagai sudut perlu dinilai berhubung ganja perubatan sebagai ubat alternatif, kerana ia telah dilaksanakan di banyak negara dan diiktiraf oleh komuniti perubatan antarabangsa.

“Kita termasuk Jawatankuasa Fatwa kena didik masyarakat bahawa ada masa untuk maju ke hadapan, mencari alternatif baharu dalam dunia perubatan dengan ujian klinikal kesihatan dan juga penggunaan herba dan sebagainya.

“Sebab perkara ini (ganja perubatan) telah pun terbukti di negara-negara yang menggunakannya. Ia ada kesan positif. Banyak kesan-kesan positif daripada negatif untuk perubatan.

“Kerajaan kena lihat perkara ini dalam gambaran yang lebih besar, maknanya melihat ganja ini bukan sekadar benda yang memabukkan tetapi juga boleh menjadi penawar perubatan terhadap penyakit tertentu,” katanya.

Beliau berkata, jika ganja perubatan dihalalkan dan akta membabitkan ganja diubah, ia tetap tidak akan mengubah statusnya untuk kegunaan umum.

“Ganja tidak boleh ditanam secara persendirian, tetapi perlu dihasilkan dalam keadaan terkawal seperti diubah kepada bentuk pil, suntikan atau semburan seperti digunakan beberapa negara di Eropah.

“Jualannya perlu juga dikawal sebagaimana kerajaan dapat mengawal dengan baik penjualan ubat-ubatan di farmasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya