PUTRAJAYA: Tiada penundaan kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan dalam pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 iaitu RM1,500 bermula esok.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini memandangkan kerajaan telah memberi bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan Covid-19 seperti Program Subsidi Upah yangberupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan sekali gus memastikan pekerja-pekerja mendapat manfaat daripada peningkatan gaji minimum.
Katanya, bagi pelaksanaan kaedah PGM 2022 adalah seperti kadar gaji minimum RM1,500 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Mei ini melibatkan majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.
Majikan yang terlibat menjalankan sesuatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020 iaitu profesional sains dan kejuruteraan, kesihatan, perguruan, perniagaan dan pentadbiran, teknologi maklumat dan komunikasi.
Ini termasuk perundangan, perkhidmatan hospitaliti dan yang berkaitan, sosial dan kebudayaan dan badan pengawalaturan tanpa mengira jumlah pekerja yang digajikan.
Bagaimanapun, majikan yang menggajikan kurang lima pekerja, maka pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan mulai 1 Januari 2023.
“Oleh itu, bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Disember 2022, kadar gaji minimum yang terpakai ialah seperti PGM 2020 iaitu RM1,200 sebulan bagi tempat pekerjaan di kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran dan RM1,100 sebulan bagi kawasan selainnya, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,500 sebulan kepada majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja adalah bagi memberi peluang kepada majikan kategori ini membuat persediaan sewajarnya.
Katanya, kadar gaji minimum harian dan jam serta kadar gaji bagi pekerja yang tiada gaji pokok tetapi dibayar melalui tugasan dan produktiviti seperti komisen, upah ikut kerja dan sebagainya turut diperincikan dalam PGM 2022.
“Pelaksanaan gaji minimum ini tidak terpakai kepada pekhidmat domestik sebagaimana PGM terdahulu. Gaji bagi Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dibayar tidak kurang daripada kadar gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini seperti yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia yang ditandatangani pada 1 April lalu.
“Penguatkuasaan gaji minimum akan dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Justeru itu, semua majikan diminta mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menjangkakan peningkatan gaji minimum ini akan memberi impak positif kepada negara, pihak majikan dan pihak pekerja yang akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.
“Peningkatan gaji minimum juga akan membantu mencapai hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
“Selain itu, kadar gaji minimum yang diputuskan ini adalah wajar bagi memastikan kebajikan pekerja terutama yang berpendapatan rendah terpelihara. Malah, pihak majikan juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna,” katanya. – UTUSAN