Gagal jadi ahli CEC, Tony Pua kini Ahli Jawatankuasa Disiplin DAP - Utusan Malaysia

Gagal jadi ahli CEC, Tony Pua kini Ahli Jawatankuasa Disiplin DAP

TONY PUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang sebelum ini gagal mempertahankan kedudukannya di dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada bulan lalu kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Disiplin parti.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu, dan senarai ahli CEC (lantikan), serta jawatankuasa dan biro dihantar kepada media hari ini.

Tony sebelum ini pernah menyandang jawatan Ketua Publisiti Kebangsaan DAP, malangnya, keputusan ahli baharu CEC menyaksikan beliau hanya memperoleh 744 undi berbanding Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Jannie Lasimbang, yang mendapat undi lebih banyak berjumlah 877 undi.

Beliau baru-baru ini berkata, tidak bersedia menjadi ahli CEC yang dilantik kerana kegagalannya meraih undi lebih banyak menunjukkan perwakilan tidak mahukannya dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Tony pada tahun lalu mendapat kritikan hebat selepas beliau mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mempertimbang tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama, dalam apa yang dilihat sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin ketika itu menawarkan memberikan peruntukan Parlimen yang sama kepada semua ahli Parlimen pembangkang dan melantik ketua pembangkang setaraf sebagai menteri kanan Kabinet sebagai pertukaran untuk sokongan mereka.

Kewajaran untuk Tony bercadang sedemikian di sebalik tindakan pembangkang yang mahu menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) sehingga menyebabkan Muhyiddin berundur, kerana bimbang jika berlaku, akan menyebabkan UMNO kembali berkuasa selepas ditumbangkan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Bagaimanapun, cadangan Tony tidak seperti yang diharap apabila rata-rata pemimpin pembangkang menolak cadangannya untuk mempertimbang tawaran Muhyiddin.

Selain beliau, yang gagal tersenarai dalam CEC ialah Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming, namun kedua-dua mereka masing-masing dilantik sebagai jurucakap Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim dan jurucakap Perdagangan Antarabangsa dan Industri parti.

Sementara itu, Naib Presiden DAP Johor dan bekas ADUN Paloh yang kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini, Sheikh Umar Bin Bagharib Ali menjadi satu-satunya wakil Melayu yang menganggotai CEC menerusi lantikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya