Fisioterapi Melaka United terkejut menang Proton Saga - Utusan Malaysia

Fisioterapi Melaka United terkejut menang Proton Saga

MUHAMMAD Rozairen Hairudin (kiri sekali) bersama ahli keluarganya bergambar di hadapan kereta Proton Saga yang dimenangi menerusi cabutan bertuah Melgrab di Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang fisioterapi Melaka United (MU) tidak menyangka penyertaan cabutan bertuah di Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah di sini membawa tuah apabila dipilih memenangi Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai RM50,000.

Muhammad Rozairen Hairudin, 30, berkata, ia merupakan kali pertama dia memenangi hadiah berupa sebuah kereta menerusi cabutan bertuah.

Menurutnya, dia membeli-belah di bazar itu dengan membeli pakaian anak tunggalnya, Firaz Nadiz, 3, bernilai RM150, dua minggu lalu.

Katanya, sejurus selepas pembelian, dia memperoleh lima kupon bertuah diberikan oleh peniaga, di mana tiga kupon diisi atas nama isteri, Siti Nadiah Zulkifly, 30, manakala baki atas namanya sendiri.

“Saya terkejut dihubungi oleh pihak penganjur memaklumkan saya memenangi kereta Proton Saga. Mulanya saya ingat scammer yang menghubungi saya malam sebelum itu.

“Alhamdulillah rupanya memang betul nama saya dipilih sebagai pemenang. Ini rezeki anak tunggal saya yang sangat bertuah menerima hadiah paling besar pernah saya terima.

“Tak terkata apa-apa, macam tak percaya pun ada selain rasa terkejut serta terharu menang hadiah kereta. Ini mungkin sudah rezeki anak saya sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah berkenaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, malam tadi.

Muhammad Rozairen berkata, dia tidak bercadang untuk menjual kereta tersebut, sebaliknya mahu menggunakannya walaupun sudah mempunyai dua kereta iaitu Perodua Axia dan Perodua Viva.

Katanya, dia memang bercadang hendak membeli kereta baharu, kerana kenderaan sedia ada sudah tidak selesa dinaiki kerana sudah mempunyai seorang cahaya mata.

“Syukur, rezeki datang bergolek dapat kereta baharu yang lebih besar dan cukup selesa untuk kegunaan kami sekeluarga,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN