MERSING: Empat orang penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti selaman berhampiran Pulau Tokong Sanggol, di sini tengah hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mangsa terdiri daripada dua warga Britain dan masing-masing seorang Perancis dan Norway.
“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada pukul 2.35 petang mengenai kejadian empat penyelam warga asing tidak timbul selepas melakukan latihan selaman sekitar pukul 12 tengah hari tadi.
“Mangsa yang terdiri daripada dua orang lelaki warga Britain berumur 14 dan 46 tahun, seorang wanita Perancis berusia 18 tahun dan wanita Norway berumur 35 tahun.
“Laporan kehilangan penyelam tersebut dibuat oleh tekong bot yang membawa penyelam terbabit. Susulan itu Op Carilamat telah diaktifkan pada pukul 2.45 petang dengan melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, keluasan pencarian dianggarkan seluas 21.45 batu nautika persegi.
Beliau berkata, setakat pukul 4 petang tadi masih tiada sebarang penemuan mangsa yang ditemui berhampiran lokasi mereka menyelam. – UTUSAN