SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak mahu berlaku amalan ‘mandi dua kolam’ berlaku dalam pengurusan masjid di negeri ini yang dilihat boleh menyebabkan berlakunya perpecahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan, masjid adalah premis kerajaan negeri, maka sudah tentulah gaya pengurusannya juga perlu selari dengan kerajaan negeri.
“Kita tidak mahu amalan ‘mandi dua kolam’ berlaku dalam pengurusan masjid kerana ia boleh menyebabkan berlakunya perpecahan. Kalau benar mereka mahu menjaga perpaduan, mereka akan tolak Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan kekal sebagai ahli jawatan kuasa (AJK) atau pegawai masjid.
“Kerajaan negeri tidak menghalang mereka untuk terus mengikuti aktiviti pengimarahan masjid. Bagi mereka yang memilih kekal bersama AJK dan pegawai masjid, kerajaan negeri tetap berlapang dada menerima mereka walaupun memahami pegangan politik selagi mana mereka tidak membawa unsur politik dalam urusan pengurusan masjid,” katanya.
Aminuddin (PH-Sikamat) berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja sewaktu Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini hari ini.
Semalam, ketika membahaskan usul yang sama, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Senaling) meminta kerajaan negeri mempertimbang semula pelaksanaan ketetapan diambil berhubung Pengerusi JPKKP yang perlu melepaskan sebarang jawatan dipegang mereka di masjid dan surau di negeri ini.
Adnan berkata, pihaknya faham dan akur dengan ketetapan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung hal terbabit sebelum ini namun meminta ia dipertimbang semula pelaksanaannya dengan mengambil kira aspek perpaduan di peringkat akar umbi.
Sementara itu, jelas Aminuddin, sehingga hari ini, terdapat seramai 171 AJK dan pegawai masjid ditawarkan memegang jawatan dalam JPKKP.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 51 orang memilih untuk kekal dalam JPKKP, 60 kekal sebagai AJK dan pegawai masjid dan 60 orang lagi belum membuat keputusan.
“Kerajaan negeri berterima kasih atas sumbangan bakti AJK, pegawai masjid yang memilih JPKKP. Bagi mereka yang belum buat pilihan, kerajaan negeri masih lagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk buat keputusan.
“Sebelum ada JPKKP, tiada masalah, tetapi apabila sudah terima jawatan dan adanya JPKKP, kami terpaksa mengambil tindakan supaya tidak ada perpecahan.
“Cuma kami beri peluang, supaya pilih salah satu, apa masalahnya? Sebelum ini tiada JPKKP, kami tidak usik pun dan ikut peraturan yang telah dibuat. Tetapi apabila ada JPKKP, kita kena buat pilihan supaya pentadbiran masjid selaras dengan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tersebarnya surat bertarikh 28 Januari 2022 berhubung pemakluman jawatan lantikan kerajaan negeri yang berkepala surat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kepada bahagian pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini.
Surat tersebut memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 12 Januari lepas membuat ketetapan bahawa mana-mana jawatan kuasa kariah masjid dan surau atau pegawai masjid dan surau yang ditawarkan sebagai Pengerusi JPKKP hendaklah melepaskan jawatan yang dipegangnya di dalam masjid dan surau tersebut atau menolak tawaran sebagai Pengerusi JPKKP. – UTUSAN