Dua penjenayah ditembak mati

Dua penjenayah ditembak mati

KENDERAAN Honda Civic berwarna kuning dinaiki dua penjenayah yang ditembak mati di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Wakaf Beruas di Kuala Terengganu, hari ini. - FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua penjenayah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Wakaf Beruas, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, seorang lelaki ditembak di dalam kenderaan manakala seorang lagi di sebuah rumah berhampiran. 

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner, Wan Rukman Wan Hassan berkata, suspek yang menaiki kereta Honda Civic berwarna kuning dikesan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah negeri dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman ketika melakukan rondaan Op Kesan di kawasan berkenaan. 

Katanya, curiga dengan kenderaan itu, polis kemudian meminta pemandunya berhenti, namun tidak diendahkan dan terus memandu secara berbahaya bagi melarikan diri. 

“Bagaimanapun polis berjaya menghalang kenderaan itu tetapi penumpangnya tiba-tiba melepaskan satu das tembakan ke arah polis hingga berlaku tembak-menembak. 

“Semasa kejadian itu, seorang suspek bertindak melarikan diri sejauh 300 meter dan bersembunyi dalam sebuah rumah kosong berhampiran. 

“Walaupun sudah dikepung dan diminta menyerah diri tetapi suspek tetap berdegil, malah turut melepaskan satu das tembakan ke arah polis yang menyerbu masuk dalam rumah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian. 

Menurut Wan Rukman, kedua-dua suspek yang ditembak mati itu merupakan warga tempatan dan identiti mereka masih lagi dikenal pasti. 

Katanya, berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai terlibat dalam kes dadah dan jenayah. 

“Kita masih lagi menyiasat barangan yang ada dalam kenderaan itu dan yang pastinya suspek memiliki senjata api,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya