JOHOR BAHRU: Dua lelaki maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Lebuhraya EDL berhampiran kawasan rehat dan rawat Pandan, di sini semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abd. Aziz memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada pukul 9.13 malam.
Sehubungan itu katanya, lima pegawai dan anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggaran mendapati pemandu dan penumpang kenderaan jenis Toyota Vios berkenaan berada dalam keadaan tersepit akibat pertembungan itu.
“Kedua-dua mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan yang hadir,” katanya, di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai K. Pratep Raj, 23, dan R. Sharan Raj, 26, manakala pemandu lori yang merupakan seorang lelaki berusia 50-an selamat.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 10.11 malam,” ujarnya. – UTUSAN