KANGAR: Berselang 40 minit, dua lelaki memecah masuk sebuah pasar raya dan kedai peralatan elektrik seterusnya mencuri wang tunai dan barang makanan dalam kejadian di Jejawi di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pertama di sebuah pasar raya di Jalan Jejawi Sematang kira-kira pukul 12 tengah malam, dua lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Civic dengan nombor pendaftaran palsu itu mencuri empat tin sirap laici dengan nilai kerugian serta kerosakan sekitar RM220.
Selang 40 minit kemudian, lelaki sama memecah masuk sebuah kedai peralatan elektrik di Taman Jejawi dan mengambil wang tunai berjumlah RM2,000 serta perakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum melarikan sebuah peti simpanan wang tunai kosong.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, pemangku Asisten Komisioner Wari Kiew berkata, hasil semakan rakaman CCTV mendapati, dua lelaki tersebut memecah masuk pasar raya berkenaan dengan mengumpil pintu.
Katanya, dalam kejadian pertama itu, tidak ada sebarang kehilangan wang tunai dilaporkan.
“Lelaki berkenaan melarikan barang makanan berupa empat tin sirap laici dan nilai kerugian serta kerosakan sekitar RM220. Pemeriksaan pihak forensik tidak menjumpai kesan cap jari kerana kedua-duanya memakai sarung tangan.
“Hasil semakan nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki suspek mendapati ia milik seorang wanita yang beralamat di Johor,” katanya di sini hari ini.
Tambah Wari, kejadian kedua di sebuah kedai peralatan elektrik, lelaki berkenaan memecah masuk premis tersebut dengan cara mengumpil menggunakan alatan dipercayai kuku kambing.
Katanya, suspek memasuki bahagian bawah rumah kedai dua tingkat itu dan mengumpil peti simpanan seterusnya mengambil wang tunai berjumlah RM2,000 serta perakam CCTV.
“Pihak forensik IPK Perlis menemukan dua sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan hasil semakan rakaman CCTV di premis berkenaan mendapati dua lelaki tersebut memakai seluar jeans gelap, bersarung tangan gelap dan memakai jaket berwarna kelabu dan hitam,” katanya. – UTUSAN