PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 10,002 kes berbanding kelmarin, 12,380 kes sekali gus diatasi 23,302 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam turut merekodkan penurunan kepada 236 kes berbanding kelmarin, 253 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 140 kes berbanding kelmarin, 157 kes.
“Bagi kluster Covid-19 pula, tiada kluster baharu direkodkan bersamaan kelmarin sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara kekal 6,940 kluster. Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 173 kluster berbanding kelmarin, 181 kluster manakala jumlah kluster yang tamat sebanyak 6,767 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 89 kes daripada 10,002 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki kes harian, 9,913 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 85 kes kategori tiga, empat dan lima, 31 kes (34.83 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 34 kes (38.20 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 24 kes (26.97 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 51 kes (57.30 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas serta 60 kes (67.42 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 28 kes berbanding semalam, 30 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 11 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,127 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak tujuh daripada 28 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,415 kes. – UTUSAN