BANDAR BAHARU: Polis menahan dua daripada empat dalang yang dipercayai mencetuskan rusuhan sebelum tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dua dalang tersebut iaitu Nur Karim Shir, 34, dan Mohamad Ali, 30, ditahan di sekitar daerah ini, petang semalam.
“Nur Karim juga dikenal pasti sebagai dalang utama dalam kejadian tersebut,” katanya dala sidang akhbar di sinim, hari ini.
Sementara itu, dua lagi dalang iaitu Muhammad Salim Nur Amin, 21, dan Mohd. Yunus, 44. masih bebas selepas lolos dari depot tersebut.
“Kes melibatkan dalang dalam kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, polis juga menjalankan siasatan terhadap 400 etnik Rohingya yang ditahan semula sejak Rabu lalu untuk mengenal pasti punca rusuhan tersebut tercetus.
Menurutnya, setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 440 daripada 528 tahanan yang meloloskan diri tersebut ditahan semula.
“Jumlah baki yang belum ditangkap pula seramai 88 orang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melindungi etnik Rohingya yang melarikan diri tersebut.
Katanya, mereka yang didapati memberi perlindungan kepada tahanan tersebut boleh diambil tindakan mengikut kita boleh ambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tahanan Rohingya itu boleh menghubungi balai polis berdekatan,” tambahnya.
Wan Hassan memberitahu, siasatan awal mendapati rusuhan tersebut berlaku berikutan tahanan terbabit tidak berpuas hati tinggal di depot tersebut.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut mengenai kejadian rusuhan itu masih berjalan,” katanya. – UTUSAN