JEMPOL: Dua beranak sempat menyelamatkan diri masing-masing dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Felda Palong 7 di sini hari ini.
Komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Hazreen Mohd. Zahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan pada pukul 10.31 pagi.
“Seramai tiga pegawai dengan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol bersama tiga orang anggota bomba bantuan telah ke lokasi.
“Kejadian melibatkan sebuah rumah Felda separuh kekal yang terbakar 90 peratus. Api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan padam sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Hazreen berkata, ketika kejadian terdapat dua individu di dalam rumah iaitu seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dan anak lelakinya berusia 26 tahun.
“Bagaimanapun mereka berdua berjaya keluar untuk menyelamatkan diri. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN