LUMUT: Seorang ibu dan anaknya maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Kampung Kayan, di sini petang semalam.
Nurdiana Abdul Rahman, 36, maut di lokasi kejadian manakala Fatin Nurjannah Mohd Ridzuan, 4, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seri Manjung (HSM) pagi ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang itu, sebuah kereta Proton Persona dinaiki empat sekeluarga terlibat kemalangan dengan sebuah pikap Toyota Hilux dinaiki empat orang yang turut cedera.
Dua beranak yang maut menaiki Proton Persona dipandu suami Nurdiana yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang lagi anak mereka berusia kira-kira dua tahun.
Syaerah Abd. Rahman, 29, adik kepada Nurdiana ketika ditemui berkata, mereka dimaklumkan Fatin Nurjannah meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi ini.
Menurutnya, jenazah dua beranak itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir selepas solat Jumaat hari ini..
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.32 petang.
“Setiba di lokasi kejadian, seorang mangsa telah tersepit di tempat duduk penumpang Proton Persona dan disahkan maut oleh pegawai perubatan manakala mangsa lain dibawa orang awam ke HSM,” katanya.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan khas mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 7.24 malam tadi. – UTUSAN