Drama Raya PETRONAS 366 gambaran ketabahan rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Drama Raya PETRONAS 366 gambaran ketabahan rakyat Malaysia

DI dalam episod istimewa Aidifitri ini, ‘Hari Ke-123’ menceritakan kisah percintaan dan pengembaraan Poji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PETRONAS melancarkan episod kedua drama bersiri 366, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Berinspirasikan suka dan duka yang dialami sejak beberapa tahun belakangan ini, drama bersiri tujuh episod itu berlatarbelakangkan keseluruhan kempen perayaan PETRONAS 2022 yang bertema Live Again atau Mara Semula.

Ia menggambarkan ketabahan dan kebersamaan rakyat Malaysia semasa menghadapi cabaran.

Poji meraikan saat gembira bersama ibunya, pemilik kedai dan pelanggannya setelah mendapat cincin idaman untuk Ayu.

Episod pertama (Hari Ke-32) telah dikeluarkan pada 30 Januari lalu sempena Tahun Baharu Cina. Ia mengisahkan usaha seorang wanita, Zhi Yi, yang mencari ibunya setelah terlibat dalam satu kemalangan.

Dalam episod kali ini (Hari Ke-123), ia memfokuskan kepada Poji, watak yang telah diperkenalkan dalam episod sebelumnya. Kali ini ia meneroka zaman kanak-kanak Poji, watak serta kisah cintanya yang sedang berkembang bersama gadis bernama Ayu.

Ayu berkongsi berita baik tentang impiannya, tetapi apa yang disampaikan seterusnya adalah kejutan buat Poji.

Bagaimanapun, hasrat Poji untuk melamar Ayu tidak kesampaian disebabkan perkara-perkara yang tidak disangka. Poji kemudian mula mempersoalkan makna segala-galanya. Walaupun sukar, pemuda itu menempuhi ujian dengan berani dan redha menerima takdir.

366: Hari Ke-123 boleh ditonton di laman media sosial rasmi Facebook dan YouTube PETRONAS di https://m.facebook.com/petronas/ atau https://youtube.com/user/PETRONASOfficial bermula 27 April 2022.

Ketua Jabatan Pengurusan Komunikasi, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Joseph Edwin berkata, penerbitan iklan merupakan sesuatu yang tidak asing menjelang perayaan di Malaysia.

“Sudah sekian lama PETRONAS menyediakan pentas atau iklan televisyen yang berjiwa Malaysia dengan menerapkan nilai-nilai murni yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia.

“Melalui kempen perayaan ini, kami terus menceritakan kisah-kisah inspirasi yang menyampaikan nilai yang biasa dikongsi, dihargai dan menyatukan rakyat sebagai sebuah negara.

“Kami sentiasa berhasrat cerita kami diselitkan dengan prinsip harmoni yang menekankan hubungan keluarga dan keharmonian masyarakat.

“Melalui jalan cerita drama bersiri ini, kami berharap episod kedua itu dapat membawa keterujaan rakyat Malaysia dan menantikan episod seterusnya dengan penuh semangat,” katanya di sini, kelmarin. 

Ayu berkongsi berita baik tentang impiannya, tetapi apa yang disampaikan seterusnya adalah kejutan buat Poji.

Ujarnya, PETRONAS berharap rakyat Malaysia kekal positif dan dapat terus mengikuti siri ini sepanjang tahun.

“Kami percaya melalui perkongsian cerita kami, rakyat Malaysia akan mendapat inspirasi untuk maju bersama dan menyedari kita tidak pernah bersendirian kerana kita sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya.

Drama bersiri 366 arahan pengarah popular, Khabir Bhatia itu, merangkumi tujuh episod merangkumi semua perayaan di Malaysia. Episod ketiga (Hari Ke-150) akan dikeluarkan pada hari perayaan seterusnya iaitu Hari Kaamatan, episod keempat (Hari Ke-152) pada Hari Gawai, episod kelima (Hari Ke-243) pada Hari Malaysia, episod keenam (Hari Ke-297) pada sambutan perayaan Deepavali dan episod ketujuh (Hari Ke-365) pada perayaan Hari Krismas. 

Layari pautan https://youtu.be/ekGqtMVpkZw untuk menonton episod kedua drama bersiri tersebut dan anda juga boleh menonton episod pertama di https://youtu.be/TrIQIFjeh-0 – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya