Dokumen PasLeak ditulis orang bodoh - Sanusi

Dokumen PasLeak ditulis orang bodoh – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan dokumen PasLeak yang tersebar di media sosial baru-baru ini hanya ditulis oleh orang bodoh.

Menurutnya, dokumen tersebut jelas palsu kerana sama sekali tidak menyerupai format minit mesyuarat ditetapkan parti.

Malah katanya, selaku antara individu yang berada dalam saf kepemimpinan parti, beliau tidak pernah sama sekali mengetahui mengenai perancangan seperti dinyatakan dalam dokumen berkenaan.

“Kalau nak perang, saya takkan tulis benda-benda macam itu kerana yang menulis macam itu, cuma orang bodoh saja. Ada pula tulis benda itu dan bagi orang baca.

“Saya ada dalam parti ini lama dan minit mesyuarat Pas tak tulis macam itu. Kami ada format tersendiri termasuk dari segi ejaan, urutan serta semua yang lain dan ia bukan begitu.

“Itu (dokumen PasLeak) entah siapalah yang tulis. Jebon mana ‘pi’ tulis minit mesyuarat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyifatkan dokumen tersebut sebagai sampah.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, beliau merasakan dokumen tersebut dibuat oleh laskar siber pihak tertentu yang mahu mendapatkan kepentingan daripada kewujudannya.

“Contohnya Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil yang ‘dok’ desak Samsuri buat sumpah laknat dan sebagainya. Isham Jalil ada kepentingan atas dokumen itu dan dia sedang menggunakan dokumen tersebut.

“Orang macam itu ada potensi untuk buat dokumen tersebut,” katanya.

Sementara itu Muhammad Sanusi turut menempelak kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa penafian Pas terhadap kesahihan dokumen tersebut, sukar dipercayai kerana parti itu sememangnya mempunyai rekod menafikan kebenaran.

“Yang Mahfuz cakap, itu dirinya sendiri. Beliau selalu buat lain, cakap lain. Jadi yang dikatakannya itu, mungkin dirinya sendirilah. Bagi Pas kalau ada, kita kata ada dan kalau tak ada, kita kata tak adalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya