SUNGAI PETANI: Misteri kehilangan seorang deejay dikenali sebagai DJ Wong yang aktif bersiaran secara dalam talian sejak tujuh hari lalu terjawab selepas dia muncul semula dengan membuat siaran langsung melalui satu laman Facebook (FB) baharu miliknya malam semalam.
DJ Wong atau nama sebenarnya, Noor Aziz Johari, 53, yang sering bersiaran bersama isterinya, DJ Sal atau nama sebenarnya Ku Sabariah Ku Hambali, 47, di laman FB ‘DJ Wong And Sal Bollywood’ dilaporkan gagal dikesan selepas keluar dari rumahnya di Taman Ria Mesra 2, Gurun dekat sini pada Rabu lalu kira-kira pukul 9.30 malam.
Bagaimanapun DJ Wong mencipta kontroversi selepas muncul bersiaran langsung kira-kira pukul 12 tengah malam semalam yang kelihatan kemas dan sihat dengan berpakaian baju Melayu berwarna biru muda .
Dalam siaran langsung selama 15 minit itu, DJ Wong bersumpah di hadapan al-Quran bahawa dia dalam keadaan sihat dan selamat serta meminta semua pihak menghentikan misi pencariannya namun lokasi sebenar dia berada tidak dimaklumkan.
Menurutnya, dia keluar dari rumahnya pada Rabu lalu atas kerelaan dirinya sendiri tanpa sebarang unsur jenayah atau unsur-unsur mistik.
“Saya keluar sehelai sepinggang atas kerelaan saya sendiri dan jawapan bagi misteri kehilangan saya ini ada pada Sal (Dj Sal), anak serta menantunya,” ujarnya.
Malah, DJ Wong di akhir siaran langsungnya itu melafazkan cerai talak tiga terhadap isterinya dan memberitahu pengikutnya bahawa dia tidak akan muncul di laman Facebook lagi selepas ini.
Pada 11 April lalu media melaporkan, DJ Wong dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Ria Mesra 2 di sini kira-kira pukul 9.30 malam, Rabu lalu.
DJ Sal memberitahu, pada hari kejadian, dia dan suaminya sedang melakukan persiapan untuk bersiaran langsung secara dalam talian di laman Facebook mereka pada pukul 10 malam. – UTUSAN