Didenda RM2,500 miliki 916 al-Quran tiada kelulusan KDN

Didenda RM2,500 miliki 916 al-Quran tiada kelulusan KDN

PEGAWAI penguat kuasa KDN mengiringi Ammar Abdullah (tengah) untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Mahkamah Majistret di sini hari ini, mendenda seorang peniaga dalam talian RM2,500 selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki 916 naskah al-Quran yang tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), tiga bulan lalu.

Tertuduh, Ammar Abdullah, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki 70 naskah al-Quran Al Mumayyaz dan An Nur bersaiz A4 dan B4 tanpa perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini pada pukul 9.04 pagi, 20 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 846 naskhah al-Quran Mumayyaz dan An Nur bersaiz sama tanpa perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.

Kesalahan itu dilakukannya di sebuah premis Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini pukul 10.15 pagi, pada tarikh sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN, Raja Husin Raja Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Raja Husin memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan semakin banyak kitab suci itu dikeluarkan tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN kebelakangan ini.

Hukuman terhadap tertuduh, kata beliau, perlu menjadi pengajaran kepada peniaga lain supaya tidak melakukan kesalahan sama sehingga menjejaskan kesucian al-Quran.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,500 bagi pertuduhan kedua selain menetapkan penjara selama tiga bulan jika gagal membayar jumlah tersebut..

Tertuduh membayar denda ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya