Dendam kekasih mati, dua suspek dituduh esok

Dendam kekasih mati, dua suspek dituduh esok

CHA HOONG FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua suspek lelaki akan dihadapkan ke mahkamah di sini esok selepas dipercayai terlibat dalam insiden pukul seorang lelaki warga tempatan dan memaksanya memotong jari sendiri ketika kejadian pada 13 November tahun lepas dan Ahad lalu.

Tindakan penahanan terhadap suspek dibuat pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan selepas mengesan sebuah video tular dalam media sosial pada hari tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa turut membuat laporan polis pada pukul 1.04 pagi 11 April lalu sebelum polis melakukan tahanan pertama terhadap seorang suspek berusia 39 tahun di di Taman Chi Liung di sini.

Kemudian, pada keesokannya IPD Klang Selatan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Jerantut membuat tahanan kedua terhadap suspek berusia 49 tahun di Taman Koperasi, Jerantut, Pahang, yang disyaki memukul mangsa pada pukul 9.30 malam 10 April lalu.

“Suspek pertama ditahan reman selama enam hari sehingga 17 April, sementara suspek kedua pula direman selama tujuh hari sehingga 19 April bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal juga mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau di bawah Seksyen 147, 379A Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Sementara suspek kedua pula memiliki empat rekod lampau di bawah Seksyen 506/323, 394 KK dan Seksyen 12(2) serta 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau lagi, ketika tangkapan polis turut merampas telefon bimbit digunakan untuk merakam video dan juga rantai besi yang digunakan untuk memukul mangsa. 

Tambahnya, kertas siasatan terhadap kedua-dua suspek sudah pun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek pertama didakwa di bawah Seksyen 109/324 KK atas kesalahan menghasut suspek kedua untuk menyebabkan cedera kepada mangsa menggunakan senjata.

Kata Hoong Fong, dekat lokasi sama di Jerantut, bersama tahanan kedua polis turut menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang kemudian dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan punca kejadian dipercayai daripada rasa tidak puas hati tahanan kedua yang beranggapan mangsa mempunyai kaitan dengan kematian kekasihnya yang bunuh diri pada 9 November tahun lalu.

“Suspek tidak berpuas hati dengan mangsa sebelum bertengkar dan mencabarnya untuk memotong jari jika benar tidak terlibat.

“Bagi membuktikan kebenarannya, mangsa mengambil sebilah pisau dan memotong jari kelingking sebelah kiri sebelum pengsan dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Tetapi mangsa tidak membuat laporan selepas kejadian,” jelasnya.

Hoong Fong menambah, pada Ahad lalu, selepas lima bulan, rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa masih belum terlerai apabila dia datang ke rumah majikan dan memukulnya dengan rantai besi.

“Suspek mengambil seutas rantai besi dan memukul mangsa beberapa kali di bahagian belakang badan, kepala, tangan kiri dan bahagian kaki mangsa. Kemudian, mangsa beredar dari rumah majikan.

“Semasa kejadian itu, suspek membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit suspek,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN