PAPAR: Parti Warisan (Warisan) tidak menolak idea untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan sekiranya gabungan itu membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tidak menjadi masalah untuk mereka bekerjasama dengan parti tempatan namun, perkara itu perlu diperhalusi secara mendalam untuk melihat persefahaman yang ingin dicapai.
Bagi membentuk kerjasama, hala tujunya perlu diteliti bagi melihat manfaat yang boleh diberikan kepada rakyat Sabah dan bukannya manfaat parti-parti politik semata-mata.
“Selama lebih 60 tahun, keadaan di Sabah (ketinggalan), kita memerlukan hala tuju yang cukup jelas supaya bukan hanya memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini, tapi bagi memastikan Sabah sebagai wilayah yang boleh memberi sumbangan besar kepada negara.
“Bukan sahaja sumbangan dari segi ekonomi bahkan untuk memantapkan kemakmuran dan keselamatan yang ada di negara ini supaya Malaysia boleh menjadi negara contoh,” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama masyarakat tempatan di Kampung Benoni semalam.
Turut hadir ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong; Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun; Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof.
Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, perpaduan yang ada di Sabah seharusnya menjadi gambaran keadaan sebenar di Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa.
Keadaan dan intipati seumpama yang ada di Sabah iaitu saling menghormati bangsa dan budaya kaum lain perlu terus diperkukuhkan agar perpaduan sedia ada tidak retak.
“Sabah sebagai wilayah yang boleh menjadi contoh maka, keadaan sebegini perlu disebarkan. Seumpama angin daripada timur iaitu membawa keharmonian di Sabah ke seluruh negara.
“Penyatuan ini perlu kita kekalkan dan ini menjadi harapan kita supaya jangan berpecah kerana banyak sangat parti, saya bimbang sekiranya banyak sangat parti,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, kerjasama dengan semua parti tanpa mengetahui hala tuju gabungan yang dibentuk akan meletakkan kedudukan parti dalam keadaan yang sukar.
Sekiranya ada parti yang cuba menekan butang bagi menarik sokongan seperti yang berlaku dalam kerajaan sekarang maka, gabungan yang dibentuk akan goyah.
“Itu sebabnya, kita kena gariskan asas kerjasama yang ingin dibentuk, jangan kerjasama semata-mata, laungan untuk kepentingan parti itu semata-mata. Ini soal kepentingan rakyat, bukan kepentingan parti,” katanya.- UTUSAN