Demi Sabah, UMNO terbuka kepada rundingan - Utusan Malaysia

Demi Sabah, UMNO terbuka kepada rundingan

MOHAMAD Alamin (tiga kanan) menyampaikan sumbangan daripada SESB kepada salah seorang penerima di Masjid Imam Abdullah Kampung Brunei, Kimanis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Kuasa autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah memberi kelonggaran kepada UMNO untuk berunding dengan mana-mana pihak demi kepentingan Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, UMNO sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan Sabah maka mereka terbuka untuk berunding dengan sesiapa sahaja.

“Kita sentiasa melihat kepentingan negeri Sabah malah, kalau saya ditanya pun, saya akan cakap keutamaan Sabah dahulu. Namun, dengan siapa saya berunding, itu biar kita tentukan. Kita punya autonomi yang diberikan oleh UMNO Pusat bagi menentukan dengan siapa kita berunding. Kita ada autonomi itu maka, dengan siapa kita berunding, dengan siapa kita bercerita, kita ada kuasa yang diturunkan oleh UMNO Pusat.

“Jadi, siapa sahaja mahu berunding demi Sabah, kita terbuka,” katanya semasa majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) peringkat Parlimen Kimanis semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan yang mahu tiga pemimpin utama Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersatu membentuk satu blok demi kepentingan Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan II itu menyifatkan pandangan Khairul Firdaus tersebut sebagai pandangan yang bersifat peribadi.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memutuskan sama ada beliau akan dicalonkan semula atau sebaliknya.

“Kita tengok apa juga keputusan parti nanti, kita akan lihat. Biarkan parti putuskan, biarlah rakyat yang buat keputusan,” katanya.

Jelasnya, UMNO Sabah sudah cukup bersedia untuk menghadapi PRU15 malah, sejak kalah pada PRU yang lalu, mereka sudah mula bekerja keras.

Menurut beliau, jentera-jentera pilihan raya di semua peringkat juga sudah digerakkan dan beliau cukup yakin pada PRU kali ini, rakyat akan dapat membuat pilihan yang tepat.

Mohamad berkata, beliau akan mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan dalam menetapkan tarikh PRU15.

“Kalau melihat kepada jangka hayat memorandum persefahaman (MoU) akan tamat pada Julai ini jadi, sekiranya ada perbincangan untuk membubarkan Parlimen antara Perdana Menteri, Kabinet dan mungkin pucuk pimpinan parti terutama UMNO dalam mencapai konsensus untuk membubarkan Parlimen tahun ini, kita akan menerimanya. Kalau tidak pun, ia akan ditetapkan pada satu masa yang mungkin akan dikompromikan oleh semua pihak mengenai pembubaran ini. Apa pun kita telah bersedia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya