PETALING JAYA: Debat Perdana antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditetapkan pada 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Melalui kenyataan bersama Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan Penasihat Komunikasi Barisan Nasional (BN), Isham Jalil hari ini berkata, debat dijadual bermula pukul 9 malam itu dapat disaksikan secara langsung melalui media-media yang akan diumum kemudian atau secara fizikal atas jemputan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Kata kenyataan itu, format debat tersebut merangkumi tiga bahagian iaitu permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy serta sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.
“Selain itu, ia juga berhubung masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.
“Kami percaya, ramai yang menantikan debat ini dan akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menilai dan meraikan idea, hujah, serta pandangan berbeza dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik lebih matang,” katanya.
Terdahulu, Najib dilaporkan berkata, beliau bersedia menerima cabaran debat yang asalnya dimulakan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang menggesa supaya kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad selain pertikaian kewajaran Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) diberikan gaji yang begitu lumayan.
Meneliti rekod kewangan Sapura Energy, Rafizi berkata, seorang pengarah eksekutif yang mewakili pemegang saham majoriti meraih hampir RM1.1 bilion dari 2009 hingga 2021 dalam bentuk gaji, bonus, sewa, yuran harta intelek dan bentuk imbuhan lain.
Katanya pada bulan lalu, Najib semasa menjadi Perdana Menteri ketika itu didakwa gagal menjaga kepentingan institusi awam melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) yang menjadi pemegang saham dalam syarikat tersebut.
Rentetan itu, ia membawa kepada cabaran supaya kedua-dua mereka berdebat, dan turut mengajak supaya Anwar dilibatkan dalam sesi debat itu nanti. Anwar pula dilaporkan bersedia berdepan dan berdebat dengan Najib mengenai isu kewangan Sapura Energy. – UTUSAN