Daun kelapa anyam ketupat nasi pula naik harga

Daun kelapa anyam ketupat nasi pula naik harga

KETUPAT nasi dijangka mengalami kenaikan harga mendadak menjelang sambutan Aidilfitri nanti. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 19 April: Jangan terkejut jika harga daun kelapa muda untuk menganyam ketupat nasi dijangka meningkat sekali ganda menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemborongnya, Hasan Loyot berkata, syarikat dari Indonesia telah menetapkan harga yang dijual sebelum daripada RM25 telah dinaikkan kepada RM35 seikat yang mengandungi 400 helai daun kelapa muda.

Beliau berkata, syarikat terbabit memberi alasan kenaikan harga itu tidak dapat dielak kerana kenaikan kos sewa kapal, upah dan sebagainya menjadi faktor kenaikan harga bahan itu.

Menurutnya, dia terpaksa mendapat bekalan itu dari negara jiran kerana sukar mendapat pembekal pasaran tempatan yang mampu membekalkan daun kelapa muda untuk kapasiti yang besar.

Beliau berkata, jika harga borong daun kelapa muda itu naik, secara tidak langsung pasaran untuk orang ramai membelinya dijangka naik daripada RM12 kepada RM15 seikat yang mengandungi 100 helai.

“Saya menerima permintaan yang tinggi daripada peniaga dan penjual ketupat nasi bagi perayaan Aidilfitri tahun ini.

“Tidak sama seperti tahun lalu, kebiasaannya saya menempah antara 600 hingga 800 ikat daun kelapa muda, namun kali ini saya tempah sebanyak 1,000 ikat,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Hasan berkata, dia merasakan bekalan itu dijangka tidak mencukupi kerana pekerja susah untuk memanjatkan pokok kelapa berikutan hujan yang kerap berlaku di negara berkenaan.

Menurutnya, dia sudah membekal daun berkenaan sejak 15 tahun dan cukup dikenali dalam kalangan peniaga dan penjual ketupat nasi.

Sementara itu seorang pengusaha ketupat, Mohd. Yusri Mahat berkata, dia risau bekalan daun ketupat tidak mencukupi untuknya berniaga pada Aidilfitri kali ini.

Menurutnya, dia menerima tempahan antara 5,000 hingga 10,000 biji ketupat yang akan mula dimasak sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri nanti.

“Saya juga diberitahu harga bahan ini pula dijangka naik sekali ganda. Apa boleh buat dan semua barang naik harga dan tidak terkejut daun ketupat pun harganya juga naik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya