PUTRAJAYA: DAP menetapkan sasaran bahawa seluruh jentera pilihan raya parti itu mesti bersiap siaga menjelang Ogos ini.
Perkara tersebut ditetapkan pada sesi pemukiman melibatkan semua kepemimpinan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang baru dilantik bersama semua Ahli Parlimen DAP, di Subang Jaya, Selangor, semalam.
Sesi permukiman itu antara lain untuk membincangkan hala tuju dan pelan tindakan parti sebagai persiapan menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada sesi pemukiman tersebut, satu sesi analisis berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibentangkan kepada semua pimpinan yang hadir.
Usaha itu, jelasnya, adalah untuk memahami pola pengundian di setiap kerusi yang ditandingi calon DAP dan kesannya kepada PRU-15.
“Kami menerima hakikat bahawa terdapat penurunan peratusan sokongan yang ketara kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun DAP berjaya mempertahankan 10 kerusi, namun dengan peratusan undi lebih rendah.
“Berdasarkan kepada pola pengundian di Johor, pemukiman membincang dan menetapkan pelan tindakan yang khusus untuk empat bulan yang akan datang. Kami menetapkan sasaran bahawa seluruh jentera pilihan raya DAP mesti bersiap siaga menjelang Ogos ini,” katanya ketika berucap pada pemukiman tersebut.
Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menjelaskan, kepemimpinan DAP sedar bahawa salah satu syarat utama sebelum PRU diadakan adalah penggubalan Akta Anti Lompat Parti untuk mengembalikan keyakinan pengundi terhadap sistem pilihan raya.
Beliau berkata, seluruh parti akan memberi sokongan padu kepada Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh untuk mewakili pendirian DAP dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan oleh Parlimen semalam untuk memastikan agenda meluluskan RUU Akta Lompat Parti sebelum akhir Mei.
“Objektif utama pemukiman hari ini ialah untuk mencetus semula harapan dan keyakinan kepada semua pemimpin DAP untuk memimpin ahli-ahli akar umbi kita untuk berjuang habis-habisan dan memenangi sokongan rakyat dalam PRU-15,” katanya. – UTUSAN