Dadah RM7.7 juta dirampas, sembilan suspek ditahan - Utusan Malaysia

Dadah RM7.7 juta dirampas, sembilan suspek ditahan

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kedah di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di utara Semenanjung dan merampas 258 kilogram (kg) syabu serta ganja bernilai RM7.7 juta pada 16 hingga 18 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis turut menahan sembilan suspek lelaki berusia lingkungan 31 hingga 52 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut sejak pertengahan tahun lalu.

Katanya, operasi dijalankan Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan Perlis.

“Operasi melibatkan lima serbuan di Kedah dan Pulau Pinang yang mana operasi pertama berjaya menangkap empat suspek di Kepala Batas, Pulau Pinang. Susulan tangkapan itu, kita membuat serbuan di Sungai Petani dan menemukan syabu seberat 212 kg dan ganja seberat 46 kg disorokkan di sebuah rumah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi kedua, pihaknya menahan lima lagi suspek.

Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menyeludup bekalan dadah dari Kelantan ke Kedah melalui jalan darat sebelum diedar di pasaran tempatan selain membalut dadah jenis syabu itu dengan bungkusan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM8.1 juta.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM423,072 terdiri tujuh kenderaan (RM419,072) dan wang tunai (RM4,000). Dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 1.1 juta penagih. Tujuh suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua sembilan suspek terbabit direman antara lima hingga tujuh hari bermula 17 dan 18 April lalu,” tambahnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya