SHAH ALAM: Nasib Samirah Muzaffar dan dua remaja berhubung dakwaan pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazri Hasan diketahui pada 30 Mei ini selepas Mahkamah Tinggi, di sini menetapkan tarikh berkenaan untuk membuat keputusan.
Hakim Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan sejak 7 April lalu pada peringkat pendakwaan.
Samirah, 47, bersama dua remaja berusia 16 dan 19 tahun dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh arwah suaminya di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 dan pukul 4 pagi keesokan harinya.
Bagaimanapun, seorang pembantu rumah, Eka Wahyu Lestari yang dikaitkan dengan kes tersebut masih bebas.
Prosiding yang bermula 6 September 2019 itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi, sementara Samirah dan dua remaja itu pula diwakili peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Rahmat Hazlan.
Tengku Intan Suraya dalam hujahan balas sebelum Ab. Karim menetapkan tarikh berkata, kenyataan Pakar Forensik Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Prashant Sanberker yang merupakan Saksi Pendakwaan Ke-50 (SP) mengenai teori stage of crime bukan hanya keterangan asas semata-mata.
Menurut beliau, sebaliknya terdapat penjelasan diberikan oleh Dr. Prashant yang wajar diterima oleh mahkamah.
“Pihak pembelaan menghujahkan bahasa Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Nizam Daud (SP57) pernah mengemukakan teori stage of crime. Teori ini hanya dinyatakan oleh SP50 ketika memberi keterangan tersebut dengan mengatakan ia bukanlah dalam skop kepakaran SP50 sebagai Pakar Patologi.
“Pihak pendakwan menghujahkan mengenai stage of crime berdasarkan penemuan dua bentuk berbeza di belakang badan si mati iaitu postmorterm hypostasis. Bentuk tersebut mengambil masa kosong hingga enam jam untuk wujud dan enam hingga untuk membolehkannya menjadi kukuh.
“Sekiranya mayat dialihkan, bentuk kedua mengikut bentuk yang pertama. Sekiranya si mati mati di atas lantai, sepertimana dijumpai, hanya terdapat satu bentuk di bahagian belakang badan si mati,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee menjelaskan, tiada perkara baharu dalam kenyataan Dr. Prashant, sebaliknya hanya pengulangan dalam bukti daripada beliau yang mayat dialih kerana hypostasis dan rigor mortis.
“Pihak pendakwaan kemudian menyatakan bukti daripada SP50 pada stage of crime berdasarkan kepada gambar dan diperkukuh dengan fakta bahawa beliau pernah melawat tempat kejadian.
“Malah, SP50 memiliki gambar pada 4 Oktober 2018 sebelum bedah siasat kedua dilakukan pada 8 Oktober 2019. Justeru, tiada penemuan dibuat pada stage of crime scene seperti teori dalam laporannya.
“Hal itu dinyatakan kira-kira seminggu sebelum dia membangkitkan teori berkenaan secara tiba-tiba selepas hadir ke mahkamah untuk disoal jawab pada 30 Julai 2021. SP50 hanya datang ke tempat kejadian pada 4 Oktober dan 5 November iaitu kira-kira sebulan selepas bilik dibersihkan oleh pemiliknya (Samirah),” jelasnya.
Pada prosiding peringkat pendakwaan, seramai 57 saksi dipanggil untuk memberi keterangan dalam sesi soal jawab.- UTUSAN