PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 5,624 kes berbanding kelmarin, 6,342 kes bagaimanapun terus diatasi 10,041 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan penurunan kepada 89 kes berbanding jumlah kelmarin, 91 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 57 kes berbanding kelmarin, 61 kes.
“Bagi kluster Covid-19, satu kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, dua kluster sekali gus menjadikan kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 7,003 kluster. Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 99 kluster berbanding kelmarin, 100 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,904 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 24 kes daripada 5,624 kes positif Covid-19 hari ini adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki kes harian, 5,600 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 24 kes kategori tiga, empat dan lima, 10 kes (41.67 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; lapan kes (33.33 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan enam kes (25 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 12 kes (50 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas; 12 kes (50 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (4.17 peratus) kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak sembilan kes berbanding semalam, 12 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,491 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), dua kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,513 kes. – UTUSAN