PUTRAJAYA: Malaysia semalam kembali mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 6,069 kes berbanding kelmarin, 7,140 kes bagaimanapun diatasi 10,619 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam terus merekodkan penurunan kepada 97 kes berbanding 110 kes kelmarin.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 64 kes berbanding kelmarin, 68 kes.
“Bagi kluster Covid-19, lima kluster baharu direkodkan berbanding sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 6,995 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 109 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,886 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 45 kes daripada 6,069 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 6,024 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 45 kes kategori tiga, empat dan lima, sembilan kes (20 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;18 kes (40 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 18 kes (40 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 21 kes (46.67 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 26 kes (57.78 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan meningkat dengan jumlah sebanyak 12 kes berbanding semalam, 18 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,449 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), satu kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,497 kes. – UTUSAN