PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 3,361 kes berbanding kelmarin, 2,478 kes bagaimanapun terus diatasi 9,484 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 101 kes berbanding jumlah kelmarin, 98 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal merekodkan 63 kes bersamaan jumlah kelmarin.
“Sebanyak 30 kes daripada 3,361 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki kes harian, 3,331 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua. Bagi 30 kes kategori tiga, empat dan lima, 14 kes (46.67 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 10 kes (33.33 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan enam kes (20 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu,16 kes (53.33, peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 17 kes (56.67 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (3.33 peratus) kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan sebanyak 13 kes berbanding semalam, lapan kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,520 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), satu kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,516 kes. – UTUSAN