PETALING JAYA: Sebanyak 7,299 kes Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan kes aktif berjumlah 96,601 kes.
Berdasarkan laman Covid Now, daripada kes yang dilaporkan, 6,876 kes melibatkan penularan tempatan, manakala 264 kes merupakan kes import.
Selain itu, sejumlah 93,901 kes atau 97.2 peratus menjalani kurantin di rumah dan 282 kes (0.3 peratus) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sejumlah 2,308 kes atau 2.4 peratus ditempatkan di hospital dengan 68 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP), manakala 42 kes di ICU, tetapi tidak memerlukan ABP.
Bagi kes sembuh, sebanyak 14,423 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif adalah 4,264,127 kes.
Sebanyak 16 kematian juga dicatatkan semalam dengan 4 kematian diklasifikasikan sebagai kematian luar hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran Twitter hari ini memaklumkan, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara semalam kekal mencatatkan bacaan bawah 1.00.
Kartanya, kadar Rt pada jangkaan mengikut kes seharian untuk seluruh negara semalam adalah 0.88.
Pecahan bagi setiap negeri pula, Selangor mencatatkan kadar Rt tertinggi berbanding dengan negeri lain dengan bacaan 0.91 diikuti Terengganu dan Negeri Sembilan pada 0.87, Perak (0.86). Kuala Lumpur (0.84) dan Melaka (0.83).
Negeri lain pula mencatatkan bacaan Rt bawah 0.80 dengan Kelantan adalah yang terendah iaitu 0.63. – UTUSAN