JOHOR BAHRU: Walaupun menyedari harga barangan keperluan sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri khususnya daging lembu semakin meningkat, ia tidak menghalang orang ramai daripada membelinya.
Salah seorang pembeli daging yang ditemui, Norhayat Samoen, 53, mengakui harga daging lembu meningkat berbanding waktu sebelum musim perayaan namun dia tiada pilihan dan tetap membelinya.
Katanya, dia membeli dua kilogram daging segar pada harga RM42 sekilogram dan dua kilogram tulang pada harga RM38.
“Setelah dua tahun beraya dalam keadaan serba sederhana, apa salahnya Aidilfitri kali ini berbelanja sedikit bagi meraikan kedatangan Syawal, lebih-lebih lagi apabila empat daripada lima anak saya pulang beraya bersama-sama.
“Daging dan tulang yang dibeli ini dimasak rendang dan dibuat sup,” katanya di Pasar Tani Datin Halimah, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pembeli daging, Mohamad Ismail, 66, turut mengakui harga barangan meningkat tetapi tidak menjejaskan keterujaan untuk menyambut kepulangan tiga daripada empat anaknya sempena Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, menjadi kebiasaannya membeli daging segar beberapa hari sebelum Aidilfitri.
“Walaupun mahal, memang saya akan beli juga. Pada awalnya rasa bimbang juga jika tidak dapat beli daging kerana tahu ia menjadi rebutan ramai orang, di sini pun perlu beratur dahulu untuk membelinya.
“Tetapi mujurlah bekalan mencukupi, jadi dapatlah saya dan isteri menyambut Aidilfitri ini dengan menu istimewa bagi menyambut kepulangan anak-anak nanti,” katanya yang menetap di Setia Tropika, di sini. – UTUSAN