KUALA TERENGGANU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan merogol seorang pelajar tingkatan dua yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp, tahun lalu.
Tertuduh, Raja Mohd. Yusof Raja Husin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Dia didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Marang pada 9 September 2021, kira-kira pukul 3 pagi.
Raja Mohd. Yusof didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap awal bulan dan tidak menganggu mangsa atau saksi sepanjang tempoh prosiding. – UTUSAN