Budaya menabung dijadikan silibus pendidikan - Utusan Malaysia

Budaya menabung dijadikan silibus pendidikan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) menerima sembah menghadap oleh Ahmad Dasuki Abdul Majid di Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring, Arau, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar didikan amalan menabung hendaklah diasuh awal dan dimulakan sejak kecil.

Baginda bertitah, tabungan untuk masa depan merupakan kemestian kepada semua individu, khususnya sebagai persiapan bagi kelangsungan hidup seperti persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Budaya menabung wajar dijadikan silibus dalam pendidikan negara agar sikap ini dihayati oleh generasi akan datang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima sembah menghadap hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid di Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar; Pengurus Besar PTPTN Perlis, Siti Jahara Mohd. Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Sementara itu, Ahmad Dasuki memaklumkan PTPTN sentiasa mengalu-alukan masyarakat untuk melakukan tabungan selain turut menyediakan kemudahan transaksi secara dalam talian bagi memudahkan proses tersebut.

“Pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan penambahan deposit boleh dilaksanakan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter sebagai usaha menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan RM21,000 bagi pihak MAIPs untuk diagihkan oleh amil masjid tersebut, Ku Mat Isa Ku Ismail kepada seramai 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariahnya yang masing-masing menerima RM700. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya