KUALA LUMPUR: Resipi bubur lambuk daripada kariah masjid yang menggunakan daging carik anjuran EB Frozen Food Sdn. Bhd. (EB) dan Media Mulia Sdn. Bhd. di Masjid Saidina Hamzah, di sini licin dalam tempoh 40 minit selepas diedarkan.
Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk kali ini yang mengedarkan bubur lambuk daging carik berjalan lancar bermula pukul 4.50 petang dan tamat pada 5.30 petang.
Eksekutif Kanan Pemasaran EB, Noor Azlin Badrim berkata, bubur lambuk kali ini mempunyai keistimewaan tersendiri seperti Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk yang lain bagi menunjukkan keunikan setiap siri edaran.
“Keistimewaan masakan bubur lambuk berbeza mengikut tempat. Perbezaan juadah buat kali ini adalah hirisan daging atau daging carik dicampurkan sewaktu proses memasak.
“Bubur lambuk di setiap kawasan adalah berbeza, macam sebelum ini di Alor Setar, Kedah. Resipi yang digunakan di sana adalah berbeza berbanding apa yang dihidangkan di sini. Ini kerana mengikut kehendak dan kelainan resipi setiap kariah di sesebuah masjid itu,” katanya.
Noor Azlin berkata, produk makanan sejuk EB iaitu Tempura Chicken Nugget dan ring roll (gegelung kacang soya) disertakan untuk memeriahkan pemberian bubur lambuk kali ini di samping mempromosi produk halal itu kepada semua pihak.
“Oleh itu, dengan program ini kami meraikan mereka yang menunaikan ibadah puasa dan kita juga memperkenal produk halal kita kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Natrah Aziz, 28, berkata, dia sangat teruja dengan pemberian bubur lambuk itu ketika berjalan mengambil anaknya dari sekolah sekitar Masjid Saidina Hamzah.
“Terima kasih kepada pihak yang memberi, rasa dihargai dan terharu. Saya seronok dapat makan bubur lambuk dan anak saya juga boleh nikmati nuget yang disertakan di dalam beg cenderamata ini,” katanya.
Setakat ini, EB mengagihkan 4,000 pek makanan dan akan diteruskan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 25 April ini serta Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru, 28 April. – UTUSAN