IPOH: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sepasang suami isteri yang terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai tiga tingkat di Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.04 pagi.
Katanya, jentera dari BBP Pasir Puteh dibantu BBP Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan PBS Pasir Pinji dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Semasa anggota tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kedai tiga tingkat di mana kebakaran berlaku di tingkat tiga. Berdasarkan maklumat awal orang awam, terdapat seorang mangsa berada di tingkat dua.
“Anggota segera menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dan berjaya menjumpai seorang lelaki dan seorang perempuan dalam keadaan sesak nafas di hadapan bilik yang terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa dibawa turun dan diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Ipoh sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
Katanya, ketika ditemui, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan lain melainkan lemah akibat sesak nafas.
“Operasi mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal kebakaran. Tiada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian itu.
“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran. Dianggarkan 40 peratus ruang keseluruhan di tingkat tiga musnah dalam kejadian itu,” katanya. – UTUSAN